Saturday, 22 August 2015

November, 1966 - separuh nyawa Mama dihadiahkan untukku.

Mama gelisah. Aku sakit berat, muntah-muntah sehingga dua tiga kali pengsan. Kenangan pahit dengan arwah Abang Zarit berkali-kali datang menjengah kerana abangku meninggal ketika usia yang sama - semasa aku sakit.

"Adakah aku akan kehilangan seorang lagi anak?" Bisik hati mama.

Guruh di luar berdentum, laporan radio mengumumkan banjir besar sedang berlaku.

Papaku berkata "Mama, dah nak kena bawa Farez ke hospital ni" 


Lalu papaku mengejut abang Iskandar (bukan nama sebenar) untuk mendukungku ke landrover askar. Korporal Jusoh membantu mama, aku dan Iskandar ke dalam landrover, dia memandang ayahku dalam keadaan 'sedia'.

"Jen (Sarjan), maaf - mungkin tak lama lagi, dah tak boleh lalu dah jalan rumah Jen, tengah jalan, banjir dah mula naik. Saya dapat arahan nak kena "punggah" penduduk kampung di sebelah sana? Macam mana Jen? Saya dah radio ambulan, mereka 'standby nak ambik Puan Syarifah dan Farez'"

Papa mengangguk-angguk. "Mama, Iskandar dan Farez kena naik ambulan ye, Papa nak kena ke kampung sana untuk mengangkut penduduk yang perlukan pertolongan"

"Jaga diri baik-baik Pa" Pesan mamaku.

Jalan yang dilalui sudah mula berlumpur, diikuti dengan hujan lebat dan kilat sabung-menyabung. Namun Korporal Jusoh sangat cekap memandu. Akhirnya aku, abang Iskandar dan mama dipindahkan ke dalam ambulan dibawa ke Klinik Kecil Macang.

Namun, setelah doktor memeriksa aku, dia memberitahu mama bahawa aku perlu dipindahkan segera ke Hospital Besar Kota Bharu sebab peralatan yang tidak mencukupi. Lalu kami menaiki ambulan dengan aku masih didukung oleh mama dengan dipayungi oleh abang Iskandar.

Ketika itu, dari Machang ke Kota Bharu memakan masa hampir sejam. Aku semakin terkulai lemah. Makanan dan minuman yang disuapkan oleh mama kepadaku, habis aku muntahkan, mamaku menangis tetapi disabarkan oleh atendan.

Tiba di Hospital Besar Kota Bharu, setelah diperiksa, doktor Lee mengarahkan kakitangan membawa aku ke ICU dengan segera kerana disyaki keracunan makanan. Nasib baik ketika itu, tidak ada seorang pun di dalam wad ICU.

Doktor Lee menyuntik 'drip' berkali-kali kepadaku, namun, semuanya ubat dan air terkeluar kembali malah bercampur sedikit dengan darah.

Doktor Lee keluar dari bilik rawatan dan memberitahu mama.

"Jika 15 minit lagi, air dan ubat 'drip' tidak memasuki tubuh anak puan...." lalu Doktor Lee menggeleng-gelengkan kepala dan menyuruh Misi di situ memerhatikan aku di bilik rawatan.

Mama meluru masuk ke dalam bilik rawatanku, Misi cuba menenangkan Mama, lalu Misi mengajak abang Iskandar keluar sebentar bagi memberikan masa dan ruang kepada mama untuk bersamaku - mungkin untuk kali terakhir.

Mama terus mengangkat tangan berdoa sambil menangis teresak-esak "Ya Allah, jika ada separuh nyawaku, aku hadiahkan ianya kepada anakku".

Tidak semena-mena, terbit seperti satu cahaya masuk ke dalam bilik rawatan. Mama ternampak seolah-olah seorang pemuda yang paras rupanya bersih dan bersinar sedang tersenyum dan memanggilnya "Mama" dan lebih mengejutkan lagi pemuda itu berkata "ini Farez ni..umur Farez masih panjang - InsyaAllah". Tiba-tiba muncul dan memegang kepalaku. Mama bermunajat di dalam hati "Tolonglah nak"

Beberapa saat selepas Syeikh Mulkan ghaib, tiba-tiba 'drip' telah memasuki badanku dan tidak lagi badanku reject. Mama memanggil, Misi dan Dr. Lee memeriksaku. Dia tersenyum :


"Puan, mungkin kerana Puan sangat sayangkan dia, sebab itu dia masih hidup"

Mama bersyukur.

3 hari aku berada di hospital dan keadaanku semakin pulih. Mamaku memberitahuku bahawa semasa itu, ramai kanak-kanak yang sakit dirawat di ICU telah sembuh - malah ibu mereka telah memberitahu Mama bahawa mereka ternampak cahaya di wajahku - seperti datang kepada anak-anak mereka yang sedang sakit. Malah, ada yang memberikan duit di bawah bantal tidurku tanpa pengetahuan mamaku.

Kemudian, kami menumpang di rumah bapa saudaraku, Che Fateh kerana kami masih belum dapat lagi pulang ke rumah kerana air banjir sudah mula melimpah di atas jalan. Semua jalan utama telah ditutup.

Semasa kembali di rumah selepas banjir mula surut, Papaku menggeleng kepala melihat keadaan rumahku seperti berlaku peperangan. Banyak perabot dan barang-barang elektrik yang rosak dan bertaburan. Nasib baik dokumen-dokumen penting ada di tangan Papa.

Namun, Papaku berkata "Asal Farez hidup pun tak apa, harta boleh dicari"
----------------------
"Jika diingat-ingat balik, rasanya pemuda itu adalah kamu Farez..."

Aku terdiam, macammana "aku datang untuk mengubati diriku sendiri?"

Ya, sememangnya Allah SWT boleh melakukannya. Dengan hanya Kun Fayakun.